Nota Penting!
Kami menggunakan kuki untuk memastikan anda mendapat pengalaman terbaik di laman web kami.
Dengan mengklik ‘Setuju,’ anda menerima penggunaan kuki oleh kami seperti yang digariskan dalam dasar kuki
Momentum semakin kukuh dalam beberapa bahagian ekonomi Australia, namun ketidaktentuan—baik di peringkat global mahupun domestik—menjadikan pembuat dasar dan pelabur kekal berhati-hati. Inflasi semakin reda dan sentimen perniagaan menunjukkan pemulihan, namun Bank Rizab Australia memilih untuk mengekalkan kadar faedah sedia ada sementara menunggu petunjuk yang lebih meyakinkan. Perdana Menteri Anthony Albanese mengambil nada optimis, menyeru negara agar memanfaatkan kekuatan domestik dan melabur dalam pertumbuhan jangka panjang. Pada masa yang sama, ancaman tarif baharu oleh Trump menggegarkan pasaran global, mendorong pengukuhan dolar AS dan membayangi prospek ekonomi. Dalam perkembangan berkaitan, dolar Australia terus mencatat aliran menaik, disokong oleh momentum teknikal yang kukuh.
Bank Rizab Australia mengekalkan kadar tunai pada 3.85% dalam mesyuarat Julai 2025. Inflasi kini menghampiri sasaran, dengan inflasi teras (trimmed mean) berada pada 2.9%. Walaupun begitu, data terkini menunjukkan tekanan harga yang sedikit lebih tinggi daripada jangkaan, mendorong RBA untuk menunggu isyarat yang lebih kukuh bahawa inflasi benar-benar mencapai sasaran 2.5% secara mampan.
Jangkaan ekonomi kekal tidak menentu susulan ketegangan perdagangan global dan prestasi campuran dalam aktiviti domestik. Walaupun pendapatan isi rumah bertambah baik dan permintaan beransur pulih, sesetengah perniagaan masih sukar untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna. Pasaran buruh kekal ketat, namun pertumbuhan produktiviti lemah dan kos buruh masih tinggi.
Dengan keadaan yang bercampur-campur ini, RBA mengambil pendekatan berhati-hati dan akan terus memantau perkembangan inflasi, upah serta prestasi ekonomi. Komitmen RBA terhadap kestabilan harga dan guna tenaga penuh dikekalkan.
Dalam ucapan terbarunya, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyatakan bahawa meskipun dunia berdepan ketidaktentuan yang semakin meningkat, Australia memiliki sumber, bakat dan hubungan global untuk mengubah keadaan ini menjadi peluang. Beliau menggariskan tumpuan kerajaan terhadap tenaga bersih, pengilangan tempatan, pembangunan kemahiran dan kesaksamaan ekonomi wanita. Beliau turut menyebut kemajuan dalam menurunkan inflasi dan meringankan kos sara hidup, sambil menyeru kerjasama antara sektor perniagaan dan masyarakat sivil untuk memacu pembaharuan jangka panjang dan kemakmuran bersama.
Keadaan perniagaan di Australia mencatat peningkatan yang ketara pada bulan lalu, dengan lonjakan kukh dalam jualan, keuntungan dan pengambilan pekerja, menurut laporan National Australia Bank. Keyakinan perniagaan juga meningkat tiga bulan berturut-turut, menandakan kemungkinan pemulihan ekonomi selepas permulaan tahun 2025 yang perlahan. Data menunjukkan peningkatan dalam pesanan hadapan dan kadar penggunaan kapasiti, mencerminkan persediaan syarikat untuk pertumbuhan aktiviti. Walaupun kos masih bercampur, sentimen keseluruhan menunjukkan optimisme yang semakin kukuh dalam sektor perniagaan.
Bank Rizab Australia (RBA) mengejutkan pasaran apabila menangguhkan pemotongan kadar faedah yang dijangka berlaku pada Julai. Penganalisis kini menjangkakan potongan kadar pada Ogos sebagai langkah yang sangat berkemungkinan. Keputusan ini mencerminkan pendekatan berbeza dalam dasar monetari global—dengan bank pusat Eropah dan Kanada melonggarkan dasar, manakala Rizab Persekutuan AS kekal tidak berubah.
Inflasi di Australia menunjukkan tanda penurunan, namun produktiviti yang lemah dan perbelanjaan fiskal yang kukuh terus mendorong RBA untuk berwaspada. Dalam masa yang sama, ancaman tarif baharu oleh Presiden AS Donald Trump menambah ketidaktentuan global, yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan, perbelanjaan dan pelaburan. Walaupun Australia mungkin menerima manfaat kecil daripada perubahan perdagangan AS, timbul kebimbangan terhadap kesannya ke atas China, rakan dagang utama Australia.
Pasangan mata wang AUDUSD kekal dalam aliran menaik yang kukuh sejak melonjak dari paras terendah 0.59124 pada 9 April. Momentum meningkat dengan ketara mulai 21 April, susulan pembentukan corak “Golden Cross”, apabila Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 20-tempoh melepasi EMA 50-tempoh—satu isyarat klasik kenaikan harga.
Petunjuk teknikal terus menyokong kecenderungan menaik. Penunjuk Momentum kekal di atas garis asas 100, menunjukkan minat belian yang berterusan, manakala Indeks Kekuatan Relatif (RSI) melebihi paras 50, mengukuhkan sentimen kenaikan harga semasa.
Jika trend ini berterusan, paras rintangan seterusnya ialah 0.65875, 0.66513 dan 0.67546. Namun, jika momentum melemah, paras sokongan yang perlu dipantau termasuk 0.64842, diikuti oleh 0.63715 dan 0.62515.
Pasaran saham global merosot manakala dolar AS mengukuh selepas Presiden Trump mengumumkan tarif baharu secara besar-besaran yang bakal berkuat kuasa Ogos ini, menyasarkan negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Afrika Selatan. Indeks S&P 500 jatuh hampir 1%, dengan saham Tesla mendahului kerugian selepas Elon Musk mendedahkan rancangan untuk menubuhkan parti politik baharu. Mata wang pasaran membangun turut melemah, manakala pasaran bon terkesan akibat kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan yang semakin memuncak. Walaupun tarif belum dilaksanakan, pelabur kekal berhati-hati terhadap impak ekonomi. Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak meningkat selepas Arab Saudi menaikkan harga jualan, mencerminkan keyakinan terhadap permintaan global.
Australia kini berada di titik genting, mengimbangi tanda-tanda pemulihan domestik dengan risiko global yang semakin meningkat. Inflasi semakin reda dan sentimen perniagaan bertambah baik, namun ketidaktentuan berkaitan ketegangan perdagangan, kelembapan produktiviti dan daya tahan pengguna terus menyelubungi prospek ekonomi. Bank Rizab Australia mengekalkan pendirian yang tidak berubah, manakala kerajaan menyeru pelaburan jangka panjang dalam tenaga bersih, pembangunan kemahiran dan sektor pembuatan. Dengan pasaran yang sensitif terhadap tajuk utama global dan dolar Australia terus mengukuh disokong oleh momentum teknikal, beberapa bulan akan datang akan bergantung kepada bagaimana pembuat dasar, perniagaan dan pelabur menangani cabaran serta memanfaatkan peluang yang mula muncul.